* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

banner Blalang


oleh IP2Location.com


Siaran Lalang Anda!




Blalang*Lalang

Khamis, Mei 17, 2007

Tragedi....

Berita Harian 17 Mei 2007
SMS ibu sebelum maut



BALING: "Assalamalaikum Ma...selamat hari ibu dan selamat malam." Itulah mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang diterima Natrah Salleh, 40, daripada seorang anaknya yang terbunuh dalam kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis di Lebuhraya Kulim-Grik, dekat Simpang Tiga Kampung Landak, di sini semalam.


Mesej dalam bahasa Inggeris itu dihantar Muhammad Nazri Mustafa, 17, kepada ibunya pada jam 11.28 malam Isnin lalu sempena sambutan Hari Ibu.

Ketika nahas, Muhammad Nazri menunggang motosikal, manakala adiknya, Muhammad Naziman, 16 yang membonceng turut meninggal dunia dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Itulah SMS terakhir yang saya terima daripadanya dan hari ini saya menerima berita kematiannya bersama Nazri dan Naziman," kata Natrah ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Baling semalam.

Beliau berkata, kali terakhir bertemu dua anaknya itu ialah dua minggu lalu ketika menziarahi seorang adik iparnya yang meninggal dunia di Kampung Mengkuang Masjid di sini.

Muhammad Nazri, Muhammad Naziman dan seorang kembar Nazri, Muhammad Nazirol, 17, tinggal bersama nenek mereka di Kampung Mengkuang Masjid sejak awal tahun ini, manakala Natrah tinggal di Taman Bandar Baru, Sungai Petani bersama dua lagi anaknya. Beliau mempunyai tujuh anak dengan dua daripadanya tinggal bersama bekas suaminya di Johor.

Natrah berkata, sehari selepas Muhammad Nazri menghantar mesej itu, beliau menerima satu lagi SMS ucapan hari ibu daripada Muhammad Naziman yang turut mendoakan beliau cepat mendapat kerja.

Dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki dua beradik itu bertembung sebuah kereta peronda polis yang sedang mengejar sebuah kereta Proton Waja, dipercayai dinaiki penjenayah dari Grik, Perak.

Ketika kejadian, mereka bersama Muhammad Nazirol yang menunggang motosikal lain bersama seorang rakan dalam perjalanan ke rumah seorang rakan lain di Kampung Iboi selepas selesai sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kuala Pegang.

Muhammad Nazirol yang melihat kejadian itu berkata, dia menunggang di belakang motosikal abangnya apabila tiba-tiba sebuah kereta peronda polis yang membunyikan siren dipandu beriringan dengan sebuah kereta Proton Waja menggunakan kedua-dua lorong.

Bagaimanapun, kereta Proton Waja berkenaan mahu membelok ke simpang ke Kupang, menyebabkan ia berlanggar dengan kereta polis.

"Kereta polis itu seperti hilang kawalan dan berlanggar dengan motosikal adik serta abang kembar saya," katanya.


--------------------------------------------------------------------------------
Utusan Malaysia- 17 Mei 2007

Dalam Negeri

2 beradik maut dirempuh peronda polis kejar penjenayah
Oleh AZMAN MD. NOOR



Mayat dua beradik Mohamad Nazri Mustaffa dan Mohamad Naziman ditutup selepas motosikal mereka bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Kupang Grik berdekatan Kampung Landek, Baling, Kedah, tengah hari semalam. – Gambar Azman Md. Noor.



BALING 16 Mei – Dua beradik terbunuh setelah motosikal yang mereka naiki dirempuh kereta peronda polis yang sedang mengejar penjenayah dalam satu kemalangan di Jalan Kupang Grik dekat Kupang di sini hari ini.

Kejadian menyayat hati itu disaksikan pasangan kembar salah seorang mangsa yang mendengar dentuman kuat di belakangnya sebelum kenderaan itu mengheret kedua-dua mangsa sejauh kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Lebih memilukan, mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan.

Mereka baru pulang dari Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kuala Pegang dekat sini, pagi ini.

Dua beradik yang maut itu, Mohamad Naziman, 16, dan abangnya, Mohamad Nazri Mustafa, 17, yang menunggang motosikal berkenaan.

Pasangan kembar Mohamad Nazri, Mohamad Nazirul, 17, berkata, dia bersama seorang lagi rakan, Mohd. Hamim Ismail, 17, ketika itu menaiki sebuah motosikal lain yang berada di hadapan motosikal mangsa.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 petang semasa kami sedang dalam perjalanan menuju ke Iboi dari Kuala Pegang untuk bertemu seorang rakan selepas meraikan sambutan hari guru di sekolah mereka

Dentuman

“Saya menyedari kemalangan tersebut berlaku apabila mendengar bunyi dentuman kuat di belakang. Saya melihat dengan jelas bagaimana kejadian ngeri itu terjadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Baling.

Mohamad Nazirul berkata, kembarnya itu kelihatan muram pagi tadi selepas menjamah sarapan pagi sebelum pergi sekolah.

Menurutnya, dia dan adik-beradiknya tinggal bersama nenek mereka di Kampung Mengkuang Masjid di sini sejak setahun lalu setelah ibu bapa mereka berpisah dan tinggal berasingan, masing-masing di Johor serta Sungai Petani.

Sementara itu, nenek mangsa, Kamariah Abdul Rahman, 72, berkata, ketiga-tiga cucunya itu diserahkan oleh bapa kandung mereka, Mustaffa Ahmad, 47, kepadanya supaya mereka dapat bersekolah di Kuala Pegang.

“Malam tadi, kedua-dua mereka (Mohamad Naziman dan Mohamad Nazri) tidur awal kerana mereka perlu bangun pagi untuk menyertai sambutan Hari Guru di sekolah.

“Saya amat terharu dengan kehadiran Pengetua Sekolah Menengah Kuala Pegang, Siti Mariam Shafie dan beberapa orang guru yang melawat jenazah cucu saya,” ujarnya dalam nada sayu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan ketika ditemui mengesahkan kejadian itu dan kematian dua beradik berkenaan.



Gambar oleh Utusan Malaysia


--------------------------------------------------------------------------------
Harian Metro- 17 Mei 2007

SMS terakhir ucap Selamat Hari Ibu


BALING: Khidmat pesanan ringkas (SMS) mengucapkan Selamat Hari Ibu adalah mesej terakhir diterima seorang ibu sebelum anaknya terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kupang-Grik dekat Kampung Landak di sini, semalam.

Mesej istimewa itu dihantar Mohd Nazri Mustafa, 17, kepada ibunya, Natrah Salleh, 40, dalam Bahasa Inggeris pada jam 11.28 malam Isnin lalu sempena sambutan Hari Ibu.

SMS berkenaan berbunyi, ‘Assalamualaikum ma, Selamat Hari Ibu dan selamat malam.’

Dalam kemalangan semalam, Mohamad Nazri dan adiknya, Mohamad Naziman, 16, yang menaiki sebuah motosikal meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta peronda polis yang mengejar sebuah kereta lain.

Natrah berkata, dia bertemu buat kali terakhir dengan kedua-dua anaknya itu kira-kira dua minggu lalu ketika menziarahi seorang adik iparnya yang meninggal dunia di Kampung Mengkuang Masjid di sini.

Menurutnya, Mohamad Nazri dan Mohamad Naziman serta seorang lagi kembar Mohamad Nazri, Mohamad Nazirul, 17, tinggal bersama nenek mereka di Kampung Mengkuang Masjid sejak awal tahun ini, manakala dia pula tinggal di Taman Bandar Baru, Sungai Petani bersama dua lagi anaknya.

Dua lagi anak Natrah tinggal bersama bekas suaminya di Johor.

“Itulah SMS terakhir daripadanya dan hari ini (semalam) saya menerima berita kematiannya bersama adiknya, Mohamad Naziman selepas terbabit dalam kemalangan.

“Sehari selepas Mohamad Nazri menghantar mesej berkenaan, saya menerima satu lagi SMS ucapan hari ibu daripada Mohamad Naziman yang turut mendoakan saya cepat mendapat kerja,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Baling, di sini.

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengkuang Masjid.

..........................

Mati berpelukan

Oleh Johari Ibrahim dan Safuri Kamarudin

BALING: Tragis dan memilukan. Begitulah perasaan seorang pelajar apabila melihat abang kembar dan adiknya maut dalam kemalangan di depan mata di Jalan Kupang-Grik dekat Kampung Landak, Kupang, dekat sini, semalam.




Lebih menyayat hati mayat kedua-dua beradik berkenaan, Mohamad Nazri Mustafa, 17, dan Mohamad Naziman, 16, dalam keadaan berpelukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, dua beradik itu yang menunggang sebuah motosikal dipercayai dirempuh sebuah kereta peronda polis dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, dua beradik terbabit meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian sedih itu turut disaksikan saudara kembar Mohamad Nazri, Mohamad Nazirul, 17, yang menaiki sebuah lagi motosikal bersama rakan mereka, Mohd Hamim Ismail, 17.

Semua pelajar Sekolah Menengah Kuala Pegang (SMKP) di sini, sebelum itu dikatakan dalam perjalanan ke Iboi untuk bertemu rakan mereka selepas selesai menyambut Hari Guru di sekolah.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta peronda polis terbabit dipercayai mengejar sebuah kereta Proton Waja dari arah Grik sejauh kira-kira 50 kilometer yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Mohd Nazirul berkata, dia menunggang di belakang motosikal abangnya apabila melihat sebuah kereta peronda polis yang membunyikan siren dipandu beriringan dengan sebuah kereta Proton Waja menggunakan kedua-dua lorong.

Bagaimanapun, katanya, kereta Proton Waja berkenaan mahu membelok ke simpang menuju ke Kupang menyebabkan ia berlanggar dengan kereta polis.

“Kereta polis itu seperti hilang kawalan dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki adik dan abang kembar saya,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang terperosok di bawah kereta peronda polis itu diseret kira-kira 15 meter menyebabkan mereka mati di tempat kejadian.

“Saya terus menerpa tapi mereka sudah meninggal dunia di bawah kereta itu,” katanya yang masih trauma ketika ditemui di pekarangan Hospital Baling (HB), di sini.

Mengulas sikap saudara kembarnya, kata Mohamad Nazirul, dia agak muram pada sebelah pagi selepas menjamah sarapan sebelum ke sekolah, berbeza sebelum ini kerana dia seorang periang dan ceria.

Menurutnya, mereka tiga beradik tinggal dengan nenek di Kampung Mengkuang Masjid sejak setahun lalu, manakala ibu bapanya yang sudah berpisah tinggal di Johor dan Sungai Petani.

“Saya tak sangka perubahan sikap abang membawa petanda buruk dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.

(Blalang : sedih + marah.....)

Label: