Citra Maal Hijrah:: Dia Ibuku....
Alkisahnya ntah mengapa sejak kebelakangan ini Lang sering mengkagumi bonda tersayang....walaupun bertemu setiap hari....itu bukanlah alasan untuk tidak menghargai apatah lagi ketika berada di hadapan mata!! Kasih Lang terhadap bonda tak terucap dengan kata-kata....meski Lang dianggap bukanlah anak ‘favourite’ beliau sekalipun namun bagi Lang dia tetap nombor satu di hati!
Lang dan ibu sering berbeza pendapat, namun air dicincang takkan putus..... begitulah kami diibarat! Lang bukanlah anak manja seperti sangkaan ramai..malah di alam remaja sering sahaja kami tak sependapat!! Pun begitu, kisah-kisah lama hanya tinggal kenangan setelah kematangan meningkat dalam diri....*kematangan =satu proses tak terhenti hingga ke akhir hayat yang membentuk siapa diri kita sebenarnya!!
Ibu Lang adalah seorang yang amat Lang kagumi....kelembutan dan ketenangan dirinya menghadapi dugaan amatlah menyentuh rasa. Kisahnya di zaman remaja amat mencabar, beliau seorang rupawan yang sering difitnah dan didengki semata-mata prinsipnya yang mahu mengawal diri dan menjauhi pergaulan bebas. Tiba di hari persandingannya pula, perkahwinannya pula cuba disabotaj oleh pihak yang menyimpan perasaan terhadap bapa Lang yang merupakan pemuda yang popular di kampung.
Perasaan iri hati terhadapnya belum terhenti apabila sering menjadi bahan sindiran pabila ternampak beliau membeli barang di pasar kampung. Pun begitu beliau tidak pernah cuba melawan terus dengan mereka yang tidak kenal erti dosa itu sebaliknya hanya berdoa dan berserah kepada tuhan.
Ibu juga pernah berniaga. Perniagaan pertamanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tak diingini. Kali kedua beliau berniaga, beliau telah menjadi mangsa dengki sekali lagi oleh pesaingnya dan menyaksikan perniagaannya itu gulung tikar dan terpaksa menanggung beban. Pun begitu beliau masih sabar dan tabah dengan dugaan tuhan itu.
Sejarah keluarganya juga tidak pernah padam daripada menjadi mangsa iri hati. Arwah ayahnya berketurunan kerabat diraja P. Kisah keluarga arwah datuk Lang itu juga pernah diburu oleh manusia yang iri hati. Akibatnya, keluarga arwah datuk Lang itu hijrah ke selatan tanahair dan memulakan kehidupan baru di sana.
Ketika arwah datuk bekerja dengan agensi kerajaan , beliau ditugaskan ke negeri M dan akhirnya bertemu jodoh dengan arwah nenek disitu. Sejarah arwah nenek yang berketurunan pembesar juga tidak lepas dari hasad dengki. Ada yang berbunuhan akibat gelaran pembesar itu. Oleh kerana itu keluarga arwah nenek Lang mengambil keputusan untuk membuang terus gelaran itu dan berpindah ke negeri M. Oleh kerana pengalaman yang lalu, arwah nenek memaksa arwah datuk Lang membuang gelaran yang ada pada namanya demi kesejahteraan hidup keluarga daripada hasad dengki manusia.
Setelah mereka berkahwin, arwah Datuk Lang ditugaskan pula ke Negeri S. Di sana keluarga yang mempunyai 10 orang anak itu hidup di sebuah rumah yang dipanggil ‘banglo bosar’ kerana rumah yang bersaiz jumbo dan paling besar di dalam kampung itu. Keluarganya menjadi popular, hampir satu mukim itu mengenali keluarga Banglo Bosar itu dan mulalah nama datuk dan nenek Lang menjadi sebutan.
Tanpa disedar, ada manusia berhati iri mula geram! Datuk Lang yang gemar memakan onde-onde gula melaka itu akhirnya diracun melalui makanan kegemarannya itu yang dibelinya sendiri! Akhirnya, di hadapan anak-anaknya termasuk ibu Lang sendiri, beliau menghembuskan nafas terakhirnya di waktu maghrib pada suatu hari Jumaat.
Akibat insiden itu, arwah nenek Lang kemudian berhijrah ke selatan dan meneruskan kehidupan di sana sehingga ke cucu cicit. Kisah hasad dengki masih belum tamat, kali ini pada usia tua arwah nenek Lang pula menjadi mangsa akibat pertelingkahan 2 pihak. Beliau terminum racun yang ditujukan kepada orang lain dan jatuh sakit. Oleh kerana kondisi badannya yang lemah, beliau menderita sakit sebelum meninggal dunia. Begitulah sejarah keluarga yang penuh dengan tragis ini....
Kisah iri hati belum berakhir. Ibu Lang pernah dicerca ketika berada di rumah oleh orang yang jelas memusuhi keluarga kami. Pun begitu hatinya tidak pernah berdendam. Pada Syawal yg lalu, beliau sanggup menemui orang yang mencerca dan mencemuh keluarga kami itu dan menghulurkan kemaafan...
Pun begitu, di hadapan mata Lang sendiri , Lang saksikan wanita itu berpaling ketika bersalaman dan jelas sekali beliau tidak ikhlas menerimanya. Sungguh tersentuh hati melihat ibu Lang bersungguh-sungguh mahu berdamai sedangkan wanita itu tidak melayannya. Oleh kerana rasa malu dan terkilan, beliau meminta diri sahaja selepas itu dengan beralasan ada budak mahu beraya di rumah. Lang yang melihatkan kejadian itu berasa geram dan terhina sekali , lalu terus keluar dari rumah itu!! Pun begitu, ibu masih boleh berkata “manusia biasa pasti melakukan kesilapan”. ..dan beliau hanya menyerah diri di atas sejadah..
Begitulah hebatnya seorang wanita cantik yang telah membesarkan Lang ini. Entah mengapa kata-katanya tentang perihal kemaafan itu masih terngiang-ngiang. Lang tidaklah setabah beliau tetapi Lang masih mampu memberikan kemaafan kepada mereka yang benar-benar berusaha ke arah perdamaian dan bukannya pertelingkahan.
Sikap lembutnya bermain-main di kotak fikiran sepanjang bulan lalu dan akhirnya Lang telahpun memaafkan beberapa orang insan yang pernah menyakiti hati Lang ini.
Lang sendiri bagai mewarisi sejarah keluarga yang dimusuhi manusia berhati kotor sejak dari zaman persekolahan lagi ke zaman pengajian tinggi dan tak tahulah hingga bila agaknya akan terhenti!! Lang dahulunya tak mampu menahan sabar dan pernah berhentam dengan beberapa orang yang secara melampau menguji kesabaran Lang ketika zaman kanak2 dulu. Kini zaman berubah, Lang tidak ingin sama sekali mahu menggunakan cara itu untuk menyelesaikan pertelingkahan. Cukuplah sekadar menjauhi orang yang bersikap negatif dengan diri kita selain menunggu takdir tuhan berikutan perbuatan mereka itu.
Sempena Awal Muharam ini, marilah kita hindari sikap dengki, iri hati, busuk hati dan sikap-sikap negatif dalam diri kita. Cerita-cerita tersebut menjadi tauladan dan sempadan tentang apa yang manusia berhati hitam boleh lakukan terhadap kita.Tidak rugi berbuat baik dan memupuk kesabaran di hati!! Marilah kita hindari perasan negatif agar
diri kita tidak akan dihindari!!Mudah-mudahan kalian semua diberkati….
Salam Maal Hijrah kepada semua!! Semoga tahun 1428Hijriah ini lebih banyak sifat-sifat mahmudah yang dapat dipupuk oleh kita !!!
Label: kisah blalang




