* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

banner Blalang


oleh IP2Location.com


Siaran Lalang Anda!




Blalang*Lalang

Isnin, Mei 19, 2008

Mengapa sepi ....?

Salam semua...

Lang memohon maaf kerana sudah lama menyepikan diri dalam blog kesayangan Lang ni. Lang sebenarnya menghadapi kemalangan hampir 3 minggu yang lalu. Kemalangan tersebut berlaku ketika Lang dalam perjalanan untuk makan tengah hari di waktu bekerja.

Alkisahnya hari tersebut Lang terasa seperti serba tak kena. Entah mengapa sewaktu bekerja Lang terasa nak sangat pulang ke rumah. Lang juga terasa & terfikir benda yang bukan-bukan sehingga terdetik nak menyimpan nombor ketua (atasan) yang tercatat di buku nota kegunaan kerja Lang ke dalam telefon bimbit. Pun begitu , Lang buat tak endah sahaja dan menangguhkan permintaan kata hati itu.

Tepat jam 1.30ptg , Lang terus meluru keluar untuk pulang ...makan tengah hari. Lang membawa motosikal dalam keadaan tenang sahaja meskipun dalam mengejar masa. Kelajuan yang Lang gunakan dibawah 90km/j sahaja.

Tiba di suatu selekoh , tiba-tiba Lang terasa dunia seperti nak terbalik....rupa-rupanya Lang yang terbalik!! Lang tergelincir sewaktu mengambil selekoh tersebut dan sekaligus seluar slack Lang menjadi ‘pad’ untuk ‘lap’ seperti penunggang MotoGP yang tergelincir di litar!
Lang yang tidak menutup mata sedetik pun , ‘terbang’ lalu terlepas motosikal itu yang seterusnya berputar 360 darjah lalu tercampak ke lorong bersebelahan.

Lang seterusnya jatuh dan terseret dengan gaya seperti Superman terbang rendah diatas jalan tar!!

Jaket dan seluar menjadi medium penyerap hentakan... Oleh kerana lapisan seluar tidak cukup tebal, maka lapisan kulit lutut Lang perlu ‘membantu’ menyerap geseran itu!!

Kejatuhan Lang daripada motosikal itu mengundang rasa kaget kepada pemandu kereta dipersimpangan itu namun mereka hanyalah penonton sahaja. Seminit kemudian hadir seorang penunggang motosikal yang mengatakan beliau sendiri kaget dengan bunyi kemalangan itu yang dahsyat! Beliau kaget melihat Lang masih mampu bangun dan berjalan meskipun lutut sudah dibasahi darah.



Lang menoleh ke jalan susur keluar itu dan terlihat bentangan minyak hitam yang merupakan punca kemalangan itu dengan sedikit perasaan geram. Pun begitu, Lang tetap bersyukur kerana tiada kenderaan yang melalui jalan itu ketika kejadian kerana kalau ada tak tahulah apa lagi yang akan terjadi.

Pemuda tersebut membantu Lang membangunkan dan menghidupkan kembali motosikal yang sudah calar balar dan sedikit kopak tersebut. Beliau melihat luka Lang lalu menawarkan untuk membawa ke klinik. Pun begitu, Lang tahu Lang masih mampu menunggang motosikal tersebut dan mengatakan bahawa rumah Lang dekat sahaja. Pemuda itu kemudian menasihati supaya luka disapukan minyak supaya cepat sembuh.

Lang yang merasa kepedihan terus menunggang ke jalan arah ke rumah yang berjarak 3km lagi. Ketika perjalanan, kata hati Lang mendesak Lang terus ke klinik sahaja untuk mendapatkan rawatan. Kali ini Lang mengikut sahaja kata hati kerana rasionalnya.


Lang kemudian tiba di kawasan yang mempunyai deretan klinik terbanyak setelah menunggang sejauh 800meter dan menahan kesakitan selama perjalanan itu. Agak kecewa bila melihat klinik-klinik tersebut meletakkan papan tanda “waktu rehat” , “waktu makan” ketika Lang menghadapi kejadian itu. Mujur masih ada sebuah klinik yang beroperasi. Pun begitu Lang masih perlu menunggu sehingga 5 minit untuk pendaftaran kerana baru kali pertama datang ke situ.

Lang kemudian dibawa ke ruangan rawatan dan baring sambil melihat sendiri depan mata, luka-luka Lang dicuci dan di balut. Lang yang kelaparan merasakan bagai terawang-awang disamping kepala terasa begitu berat. Segala kepedihan sewaktu proses itu hanya Allah yang tahu. Lang juga merasakan kesakitan yang teramat sangat dipergelangan tangan kanan sehingga menggigil sekiranya mahu digerakkan.

Dalam kemalangan itu Lang cedera di kedua belah lutut dengan geseran di lutut kanan dan luka besar dan dalam dilutut kiri , luka di kedua tapak tangan serta luka dibuku lima tangan kanan selain terseliuh di keseluruhan tangan kanan.

Selesai operasi mencuci luka, Lang diminta ke kerusi untuk sesi bersama doktor, namun ketika duduk pandangan Lang menjadi kelam dan kabur berserta rasa seperti melayang layang. Doktor tersebut yang sudah mula bertanyakan beberapa soalan terus dijawab oleh Lang “Doktor, saya rasa nak pitam ni!” beberapa saat kemudian Lang terus tidak sedarkan diri.

Lang kemudian tersedar dan rasa ada orang mendokong Lang...iaitu doktor lelaki tersebut dan meletakkan Lang diatas katil rawatan. Lang disuruh berehat sebentar sebelum diminta berjalan ke katil yang satu lagi kerana ada pesakit lain datang.

Dalam baring itu, Lang terfikir untuk memaklumkan kepada tempat kerja serta keluarga tentang kejadian tersebut. Lang menelefon keluarga yang semuanya ada urusan masing-masing dan hanya boleh tiba dalam tempoh 40minit lagi. Dalam menunggu itu Lang masih boleh berSMS dengan beberapa rakan yang termampu Lang hubungi.

Lang kemudian menyemak nombor ketua atasan Lang namun tidak ditemui kerana nombornya hanya tercatit dalam buku nota yang tertinggal di tempat kerja sahaja!! Patutlah hati Lang terdetik untuk memasukkan nombornya ke dalam telefon bimbit pagi tadi!! Aiyo!

Lang kemudian menghubungi rakan ditempat kerja untuk mendapatkan nombor ketua atasan Lang tersebut. Lalu Lang menghubungi ketua atasan Lang tersebut.. Beliau menanyakan tentang keadaan Lang berserta prosedur cuti sakit yang Lang pun maklum. Dari nada suaranya ada bunyi kerisauan apabila mendengar tentang kejadian tersebut ,pun begitu Lang tahu beliau risau kerana rekod bahagiannya akan tercalar sekiranya ada bawahannya mengambil MC yang panjang! Selama ini bahagiannya menang sebagai bahagian terbaik selama 2 kali berturut – turut kerana jumlah mata prestasi yang tinggi. Sekiranya ada MC, mata akan berkurangan...hm Lang peduli apa!

Selepas hampir 50minit, barulah tiba abang ipar untuk membawa pulang Lang. Di farmasi klinik itu Lang diberikan ubat berserta MC 2 hari yang perlu disambung lagi. Jururawat itu melakukan sesuatu yang boleh dianggap kurang cerdik pabila menyuruh Lang mengisikan borang rekod dengan sendiri. Lang bersabar dan meminta jururawat itu menulis apa yang Lang sebutkan.

Abang ipar Lang membawa pulang Lang ke rumah disamping membelikan burger untuk mengalas perut yang dah sampai tahap kebulur itu. Abang ipar Lang itu masih boleh membuat jenaka dengan kejadian Lang itu...hmm dah memang begitu perangai lelaki perasan macho sepertinya! Motosikal Lang ditinggalkan di klinik sebelum dibawa pulang oleh bapa Lang yang tiba 15 minit selepas Lang tiba di rumah.

Sehingga kini Lang masih berehat dirumah.....


(bersambung......)

p/s: menaip guna tgn kiri sahaja ni!!

Label: