* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

banner Blalang


oleh IP2Location.com


Siaran Lalang Anda!




Blalang*Lalang

Isnin, Julai 16, 2007

Saksi sang buaian

Kisah bermula ketika Lang berusia 3 tahun, sebuah buaian yang boleh memuatkan maksimum 6 orang di atasnya dibeli oleh ayah sebagai hadiah untuk beradik kami. Bagai trendsetter bagi kampung tempat kami tinggal ini apabila keluarga kami merupakan keluarga pertama memiliki buaian seperti itu setelah menjadi keluarga pertama yang memiliki TV warna ketika itu! Gara-gara itu, keluarga kami menjadi popular dan menjadi tumpuan setiap kali ada yang ingin menonton TV warna tersebut dan bermain buaian tersebut. Beberapa tahun kemudian barulah ada keluarga lain turut mengikut jejak langkah kami memiliki TV warna dan buaian seperti itu.



Buaian itu adalah lambang zaman kanak-kanak Lang dan adik beradik serta kanak-kanak lain yang turut membesar bersama kami di kawasan itu. Zaman kami ketika itu popular dengan siri kartun seperti Thundercats, Transformers, M.A.S.K, G.I Joe, Ksatria Baja Hitam, Flashman, Maskman, Ultraman Terulung (Ace), Silverhawk, Captain Power, Jem, My Little Pony, Carebears dan banyak lagi. Tidak ketinggalan siri TV seperti drama Jepun; Oshin, Moero Attack, Akan tare, Kyoshi Bin Bin juga Macguyver, Mission Impossible, Airwolf, Knight Rider yang ditayangkan di tiga stesen TV yang terdapat di Malaysia ketika itu.


Buaian atau Glider swing seperti inilah yang menyimpan seribu kenangan bersama!!

Zaman kanak-kanak Lang diisi dengan pelbagai aktiviti yang kalau difikirkan semula ketika ini memang memenatkan. Ketika hari cuti sekolah, Lang akan keluar pada waktu hujung pagi sehingga menjelang maghrib untuk bermain di sekitar kampung. Pelbagai aktiviti dibuat sehingga mendapat amaran kerana sering pulang lewat.... peraturan kanak-kanak waktu maghrib adalah waktu larangan berada di luar rumah.



Kanak-kanak sekampung memang gemar main bersama. Ketika itu terdapat 10 tempat paling popular sebagai kawasan budak-budak main beramai-ramai. Kawasan buaian diperkarangan rumah itu antara 5 tempat paling popular kerana kedudukan yang hampir dengan tanah lapang sebagai tempat bermain roundes, baling tin, bola sepak dan bola jaring. Kawasan rumah jiran sebelah Lang pula popular sebagai tempat bermain guli, lompat jauh, main getah, konda kondi, ketinting, sorok-sorok dan permainan “ibu ayam dikejar musang” kerana kawasan perkarangan yang luas dan permukaan tanah pasir yang rata.



Buaian itu paling popular dengan permainan “bas dan penumpang”. Cara bermainnya ialah dengan melantik seorang menjadi konduktor bas dan seorang lagi menjadi pemandu. Si pemandu dan si konduktor berdiri dihujung buaian itu. Tugas pemandu ialah menggerakkan buaian itu manakala si konduktor menanyakan destinasi penumpang, mengarahkan pemandu juga mengutip ‘duit tambang’. Untuk menjadi penumpang, bukan sahaja harus memikirkan destinasi tujuan sahaja malah perlu menyediakan duit tambang.



Duit tambangnya ialah daun jambu segar yang perlu kami petik daripada pokok jambu yang berdaun lebat beberapa meter dari buaian itu. Bila sudah berada di dalam ‘bas’ itu konduktor akan menentukan berapa lama dalam bas itu mengikut destinasi tujuan dan ‘duit’ yang diberi. Duit daripada daun kering dianggap tidak laku dan boleh diusir dari ‘bas’.



Satu persatu penumpang naik dan turun daripada ‘bas’ itu dan selalunya pasti ada kejutan di akhir permainan yang sepatutnya tiada penghujung itu. Antaranya pemandu dan konduktor nak turun pegi makan (maksudnya dah malas nak bawak bas dah) dan penyudah paling mencuit hati ialah kekejaman pemandu itu ‘memandu’ laju sehingga membuat penumpang terakhir menjerit ketakutan!! Selalunya ketika memandu laju itu, buaian akan digerakkan dengan sekuat yang boleh sehingga terangkat sebelah bahagian buaian itu lalu menyebabkan perasaan gerun kerana takut buaian itu akan terbalik!!



Ketika itulah hilai tawa mengundang bagi penumpang yang sudah pun turun dan memerhatikan drama itu terjadi!! Sejurus selepas itu penumpang itu akan serik dan meminta turun daripada bas lalu permainan itu pun berakhir. Selalunya selpas berakhir permainan bas itu akan menyusul pula permainan yang lain. Namun jika permainan lompat getah, mak-mak atau masak-masak yang menyusul, jawabnya Lang akan angkat kaki dan mencari kawan lain di kawasan lain untuk bermain permainan yang lebih Lang gemari terutama baling tin/selipar atau permainan bina lebuhraya model kereta mini. Kalau tidak ada yang bermain, maka selalunya Lang akan bersama bermain di sungai atau memanjat bumbung sekolah agama!



Buaian itu menjadi tumpuan bagi kanak-kanak yang melalui kawasan itu termasuklah pelakon drama yang terlibat dengan pengambaran dikawasan sekitar itu. Buaian itu menjadi simbol keterbukaan keluarga kami kepada sesiapa sahaja untuk mengunjunginya dan menghidupkan kawasan itu dengan penuh warna.



Kali terakhir sebelum Lang melangkah ke zaman remaja, sempat juga Lang menganjurkan pertandingan kuiz yang melibatkan peserta yang lebih muda di perkarangan buaian itu. Lang menjadi penganjur, juri dan pengacara dalam kuiz itu...bolot semua!! Hadiahnya berupa beberapa barangan kecil yang tak seberapa tapi berjaya menarik pesertanya berjumlah 10 orang dari seluruh pelusuk kampung!! Kuiz pengetahuan am itu diakhiri dengan setiap peserta perlu membuat persembahan. Memang lucu bila difikirkan balik semua itu!!



Setelah masa berlalu dengan bermulanya era permainan video Nintendo dan Sega, kawasan buaian itu sudahpun kurang menjadi tumpuan apatah lagi apabila pagar dibina. Pagar terpaksa dibina di sekeliling kawasan rumah keluarga kami untuk mengelakkan penceroboh yang berleluasa memasuki tanpa kebenaran terutama ketika waktu tengah malam. Apatah lagi kejadian pecah rumah juga terjadi dan kecurian juga sering terjadi.Tak lama kemudian perkarangan buaian itu semakin sempit dengan adanya bangsal yang menempatkan kereta keluarga Lang.Buaian itu semakin lama semakin sepi. Pada masa itu penyakit terperap di dalam rumah mula menular di mana-mana dan budaya bermain di luar rumah semakin lama semakin sukar dilihat. .



Perkarangan buaian itu menjadi saksi zaman kanak-kanak Lang yang penuh cerita. Zaman kanak-kanak kami sekampung ketika itu dihiasi budaya hidup bermasyarakat ; sesuatu yang amat sukar dilihat pada masa kini. Panas terik dan hujan bukan penghalang bagi kami membuat aktiviti di luar rumah dan ada sahaja perkara baru yang dipelajari setiap hari. Setiap ceruk kampung telah kami jelajahi termasuklah dusun, anak sungai, hutan rimba, bukit bukau dan kawasan perkuburan!



Namun kini semuanya sudah menjadi sejarah.... buaian tersebut pun sudah usang dan berkarat sepenuhnya. Kebanyakan sendinya sudah tercabut dan seterusnya menjadikannya kurang stabil dan kurang selamat untuk dihampiri. Buaian itu hanya menanti masa untuk roboh sepenuhnya serta dibuang kerana tiada ada yang boleh dilakukan untuk memulihara keadaannya. Melihatkannya hati menjadi sayu bercampur baur ingatan di masa lampau! Itulah kisah riwayat hidup sebuah buaian!!

Label: